Sabtu, 7 Oktober 2017

IBRAH HIJRAH

Assalamualaikum...
Pada Saiyyidul Ayyam 15 Muharram 1439 Hijriah pengisian slot memperngingati Sirah Nabi telah diadakan. Slot tazkirah yang biasa digantikan dengan program Bicara Ibrah Hijrah. Bicara ini telah disampaikan oleh Us Mohd Fazly (KP Pend Islam) Sk Sungai Lui. Terdahulu pada pagi tersebut dimula dengan rutin bacaan Yaasin yang dipimpin oleh Us Aluwi. Biasanya SKSL akan adakan sambutan Maal Hijrah peringkat sekolah dengan menjemput penceramah dari luar, tetapi kekangan masa majlis dilaksankan dengan Bicara Ibrah Hijrah.
Antara inti pati pengisian Bicara Ibrah Hijrah ialah proses hijrah Rasulullah saw dari Kota Mekah ke Kota Madinah. 
Ibrah 1Berundur bukan bererti kalah. 
Akibat dari tindakan kejam kafir Quraisy di Mekah terhadap syiar Islam dan Rasulullah s.a.w. maka Rasulullah dan orang Islam mula berhijrah. Nabi berpeluang menyebarkan Islam di Madinah pula. Pada suatu malam, orang kafir Quraisy telah mengepung rumah baginda untuk membunuh baginda saw. Tetapi pakatan tersebut telah dikatahui oleh baginda lalu mengarahkan Ali menggantikan tempat tidur baginda. Baginda saw bersama Abu Bakar telah keluar tanpa disedari oleh kafir Quraisy yang mengepung rumah baginda saw.
Ibrah 2: Perlu mengatur strategi untuk berjaya.
Nabi Muhammad dan Abu Bakar tidak menggunakan jalan biasa ke Madinah. Sebaliknya ke Selatan terlebih dahulu agar kafir Quraisy tidak tahu perjalanan mereka. Mereka bersembunyi di Gua Thur. Diketahui bahawa Yastrib (Madinah) berada di utara, tetapi kenapa Nabi bergerak ke selatan. Baginda bersembunyi di Gua Thur selama 3 hari. Quraisy sudah hampir memasuki gua tersebut tetapi sarang labah-labah menutupi gua dan langsung tiada kesan yang rosak. Salah seorang daripada mereka, Umayyah bin khalaf mengatakan bahawa sarang labah-labah tersebut berada di situ sebelum kelahiran Nabi lagi.
Ibrah 3: Pentingnya kerjasama.
Semasa persembunyian di Gua Thur Abdullah bin Abu Bakar ditugaskan sebagai perisik, memaklumkan perkembangan Quraisy yang ingin membunuh Nabi saw. Asma' binti Abu Bakar pula ditugaskan menyediakan bekalan makanan. Bagi menutupi jejak langkah perjalanan ke gua, 'Amir bin Fuhayrah disuruh mengembala kambing berhampiran pintu gua. Juga membekalkan susu kepada Nabi dan Abu Bakar. Abu Bakar telah mengupah penunjuk jalan bernama Abdullah bin Urayqit al-Dayli.
Ibrah 4: Kejayaan mesti disertai dengan pengorbanan
Setelah melalui jalan yang berliku-liku yang tidak digunakan para pedagang maka hasrat murni hampir tercapai. Pengorbanan meninggalkan segala harta benda di tanah air akhirnya membuahkan hasil. Pada hari Isnin 8 Rabiul Awwal mereka singgah di Quba'. Di sinilah Masjid pertama dibina dlam sirah Islam. Mereka meneruskan langkah, akhirnya hari Jumaat tanggal 12 Rabiul Awwal tahun ke 14 kenabian bersamaan 24 September 622M mereka tiba di Yastrib ( Madinah ).
Ibrah 5: Tetamu mesti dimuliakan
Kedatangan Nabi saw dan Abu Bakar disambut meriah oleh penduduk Yastrib. Mereka menawarkan rumah masing-masing untuk Nabi bermalam. Semua penduduk mempelawa untuk dipilih rumah mereka. Nabi membiarkan unta tunggangannya membuat pilihan. Di mana unta itu berhenti di situ mereka akan bermalam. Penduduk asal Yastrib yang dikenali golongan Ansar menawarkan segala harta kepada golongan yang berhijrah (Muhajirin) sehinggakan ada yang menawarkan isteri mereka.
Nabi telah membina dan membentuk negara Islam yang pertama di sini. 3 asas penting dalam pembentukan Negara Madinah: 1. Asas pertama, Pembinaan Masjid Nabawi. 2. Asas kedua, Mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar dan 3. Asas ketiga, mewujudkan Piagam Madinah.
Sebenarnya banyak ibrah yang boleh diambil dari peristiwa Hijrah Nabi. Ia bergantung kepada penelitian masing-masing. Wallahu 'alam....



Tiada ulasan:

Catat Ulasan