Jumaat, 20 Oktober 2017

SABAR

Pengertian Sabar : صَبَرَ   ( menahan )
Boleh dikategorikan kepada 3, iaitu :
1.       Sabar menjalankan perintah Allah
Sabar dalam ibadah seperti dalam solat, berpuasa dan menuntut ilmu.
Sabar dalam menuntut ilmu kerana ia adalah suruhan Allah. Orang yang tiada ilmu seumpama orang buta. Menuntut ilmu tidak kira usia hinggalah mati.
Beritahu atau cakap sesuatu yang baik dan yang belum diketahui itu juga dikira berguru dengan ilmu. Tidak kira muda atau tua, tidak kira bangsa atau agama selagi ia tidak bertentangan dengan agama.
2.       Sabar daripada apa yang dilarang oleh Allah.
Kena bersabar untuk tidak melakukan perkara kemungkaran. Contoh, mencuri – kena sabar dan tidak boleh ambil barang kepunyaan orang lain tanpa izin tuannya.
3.       Sabar terhadap apa yang ditakdirkan oleh Allah taala.
Sabar dengan kegagalan, kesakitan, kepayahan hidup. Semuanya adalah ujian Allah kepada umatNya untuk menilai tahap kesabaran seseorang itu.
   "الصبر الجميل "  Sabar itu indah, maka akan rasa nikmat sabar.
 Sama-sam kita tetapkan konsep sabar dalam kehidupan kerana Sabar Itu Indah.
Ada hikmah disebalik sabar.
Kesabaran disaat kemarahan, menyelamatkan kita daripada penyesalan.
-          - Saidina Ali bin Abi Talib

Tazkirah Jumaat 
Ustazah Che Gayah binti Che Ali
Tarikh : 03 Februari 2017

Dewan SK Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.





MENUNTUT ILMU

Definisi menuntut ilmu:
Menuntut – meminta dengan bersungguh-sungguh
Ilmu – pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir batin dan pelbagai.

Sikap terhadap ilmu:
- Mesti tahu apa itu ilmu
- Mencari kebenaran
- Berfikir dengan cara luar biasa
- Tingkap Jauhari :
                1. Apa yang saya tahu
                2. Apa yang saya tidak tahu:
                                2.1. Boleh dicari
                                2.2. Tidak boleh diubah
                3. Saya tidak tahu tapi orang lain tahu
                4. Saya tidak tahu dan orang lain pon tidak tahu

- Bagaimana hendak mendapatkan ilmu yang benar
- Menjurus kepada wahyu kerana semua perkara yang berlaku adalah ketentuan Allah
- Manual kehidupan berteraskan kepada al-Quran
                # Al-Quran manual kehidupan

- Power of voice ( kuasa kata-kata )


Tazkirah Jumaat 
Ustaz Aluwi bin Md Yasin
Tarikh : 20 Januari 2017

Dewan SK Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.



ADAB BERSAMA GURU

Ada murid ada guru. Murid akan belajar dengan guru. Belajar tanpa guru akan sesat. Seseorang pelajar atau murid wajib mengetahui adab bersama dengan guru.
Adab berguru ialah asas Kecemerlangan .
Ramai murid melayani guru mereka seperti rakan-rakan.
Memuliakan dan menghormati guru ialah perkara penting untuk beroleh keberkatan terhadap ilmu yang dipelajari.

-          Apabila bertemu guru, dahulukan dengan salam dan senyum
-          Tidak banyak bercakap kosong di hadapan guru
-          Tidak banyak bercakap kecuali mendapat keizinan dan ketika sesi perbincangan
-          Bertanya apabila diizinkan oleh guru
-          Elakkan daripada membantah pendapat guru kecuali dibenarkan
-          Elakkan member sebarang petanda yang anda lebih tahu daripada guru
-          Jangan berbisik-bisik dengan tiada sebab
-          Tidak berpaling ke kiri atau ke kanan tanpa sebab
-          Jangan berasa sombong dengan ilmu yang ada
-          Jangan tidur dan lalai ketika guru sedang mengajar

Tazkirah Jumaat 
Ustaz Ku Ismail bin Tn Yaacob
Tarikh : 13 Januari 2017

Dewan SK Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.

BELAJAR ITU IBADAH

Setiap minggu, secara bergilir-gilir GPI akan menyampaikan tazkirah pendek selepas bacaan Yaasin. Ini merupakan tazkirah pertama yang baru dimuat naik dalam blog panitia.

Langkah Pertama :
1. Mulakan setiap pagi dengan niat  “Aku datang ke sekolah kerana Allah taala”.
2. Mulakan niat sebelum belajar  “Aku belajar kerana Allah taala”.
3. Bacalah بسم الله الرحمن الرحيم     sebelum memulakan sesuatu.

Langkah kedua:
Mulakan dengan beristighfar memohon keampunan:
أَسْتَغْفِرُ اللهَ  العَظِيْمَ  الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الحَيُّ القَيُّوْمُ وَأَتُوْبُ إِلَيْهِ 

Langkah Ketiga:
Berdoa kepada Allah swt agar memberkati usaha yang dilakukan.

Langkah Keempat:
1. Beristiqomah dalam usaha dan ikhtiar yang dilakukan.
2. Tidak putus asa mengharapkan bantuan Allah swt
3. Tidak jemu berdoa
4. Meyakini bahawa Allat taala akan membalas kepenatan, keletihan dan kesukaran yang kita usahakan

Tazkirah Jumaat 
Us Mohd Fazly bin Mamat @ Zakaria
Tarikh : 06 Januari 2017
Dewan SK Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor.



Sabtu, 7 Oktober 2017

KHIDMAT MASYARAKAT

Pada Jumaat 06 Oktober 2017 bersamaan 15 Muharaam 1439H satu program Khidmat Masyarakat melibatkan pelajar Tahun 6 SKSL. Program ini membersihkan Masjid Ar-Rahman Kg Sungai Lui. Aktiviti ini dirancang bagi mengisi waktu selepas peperiksaan UPSR. Dikelolakan oleh Penyelaras Tahun 6 bersama dengan Panitia Pendidikan Islam SKSL.
Mulai jam 0900 murid bergerak dari sekolah ke Masjid Ar-Rahman dan diberi taklimat oleh Ustaz Ku Ismail. Murid dibahagikan tugas mengikut bahagian yang perlu dibersihkan. Antaranya membersihkan kawasan sekeliling masjid, membersih tandas, longkang, tempat wudhuk, ruang solat dan banyak lagi. Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada murid berkhidmat kepada masyarakat terutamanya tempat ibadah yang sememang perlu bersih pada setiap masa. Murid juga didedahkan dengan kerja-kerja pembersihan agar dapat diaplikasikan di rumah.
Kerja-kerja pembersihan selesai pada jam 1100 dan murid bergerak balik ke sekolah semula. Pihak panitia mengucapkan terima kasih kepada guru pengiring Tahun 6 dan juga pihak jawatankuasa Masjid Ar-Rahman Kg Sungai Lui.









IBRAH HIJRAH

Assalamualaikum...
Pada Saiyyidul Ayyam 15 Muharram 1439 Hijriah pengisian slot memperngingati Sirah Nabi telah diadakan. Slot tazkirah yang biasa digantikan dengan program Bicara Ibrah Hijrah. Bicara ini telah disampaikan oleh Us Mohd Fazly (KP Pend Islam) Sk Sungai Lui. Terdahulu pada pagi tersebut dimula dengan rutin bacaan Yaasin yang dipimpin oleh Us Aluwi. Biasanya SKSL akan adakan sambutan Maal Hijrah peringkat sekolah dengan menjemput penceramah dari luar, tetapi kekangan masa majlis dilaksankan dengan Bicara Ibrah Hijrah.
Antara inti pati pengisian Bicara Ibrah Hijrah ialah proses hijrah Rasulullah saw dari Kota Mekah ke Kota Madinah. 
Ibrah 1Berundur bukan bererti kalah. 
Akibat dari tindakan kejam kafir Quraisy di Mekah terhadap syiar Islam dan Rasulullah s.a.w. maka Rasulullah dan orang Islam mula berhijrah. Nabi berpeluang menyebarkan Islam di Madinah pula. Pada suatu malam, orang kafir Quraisy telah mengepung rumah baginda untuk membunuh baginda saw. Tetapi pakatan tersebut telah dikatahui oleh baginda lalu mengarahkan Ali menggantikan tempat tidur baginda. Baginda saw bersama Abu Bakar telah keluar tanpa disedari oleh kafir Quraisy yang mengepung rumah baginda saw.
Ibrah 2: Perlu mengatur strategi untuk berjaya.
Nabi Muhammad dan Abu Bakar tidak menggunakan jalan biasa ke Madinah. Sebaliknya ke Selatan terlebih dahulu agar kafir Quraisy tidak tahu perjalanan mereka. Mereka bersembunyi di Gua Thur. Diketahui bahawa Yastrib (Madinah) berada di utara, tetapi kenapa Nabi bergerak ke selatan. Baginda bersembunyi di Gua Thur selama 3 hari. Quraisy sudah hampir memasuki gua tersebut tetapi sarang labah-labah menutupi gua dan langsung tiada kesan yang rosak. Salah seorang daripada mereka, Umayyah bin khalaf mengatakan bahawa sarang labah-labah tersebut berada di situ sebelum kelahiran Nabi lagi.
Ibrah 3: Pentingnya kerjasama.
Semasa persembunyian di Gua Thur Abdullah bin Abu Bakar ditugaskan sebagai perisik, memaklumkan perkembangan Quraisy yang ingin membunuh Nabi saw. Asma' binti Abu Bakar pula ditugaskan menyediakan bekalan makanan. Bagi menutupi jejak langkah perjalanan ke gua, 'Amir bin Fuhayrah disuruh mengembala kambing berhampiran pintu gua. Juga membekalkan susu kepada Nabi dan Abu Bakar. Abu Bakar telah mengupah penunjuk jalan bernama Abdullah bin Urayqit al-Dayli.
Ibrah 4: Kejayaan mesti disertai dengan pengorbanan
Setelah melalui jalan yang berliku-liku yang tidak digunakan para pedagang maka hasrat murni hampir tercapai. Pengorbanan meninggalkan segala harta benda di tanah air akhirnya membuahkan hasil. Pada hari Isnin 8 Rabiul Awwal mereka singgah di Quba'. Di sinilah Masjid pertama dibina dlam sirah Islam. Mereka meneruskan langkah, akhirnya hari Jumaat tanggal 12 Rabiul Awwal tahun ke 14 kenabian bersamaan 24 September 622M mereka tiba di Yastrib ( Madinah ).
Ibrah 5: Tetamu mesti dimuliakan
Kedatangan Nabi saw dan Abu Bakar disambut meriah oleh penduduk Yastrib. Mereka menawarkan rumah masing-masing untuk Nabi bermalam. Semua penduduk mempelawa untuk dipilih rumah mereka. Nabi membiarkan unta tunggangannya membuat pilihan. Di mana unta itu berhenti di situ mereka akan bermalam. Penduduk asal Yastrib yang dikenali golongan Ansar menawarkan segala harta kepada golongan yang berhijrah (Muhajirin) sehinggakan ada yang menawarkan isteri mereka.
Nabi telah membina dan membentuk negara Islam yang pertama di sini. 3 asas penting dalam pembentukan Negara Madinah: 1. Asas pertama, Pembinaan Masjid Nabawi. 2. Asas kedua, Mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar dan 3. Asas ketiga, mewujudkan Piagam Madinah.
Sebenarnya banyak ibrah yang boleh diambil dari peristiwa Hijrah Nabi. Ia bergantung kepada penelitian masing-masing. Wallahu 'alam....



Khamis, 5 Oktober 2017

j-Blok Jawi

Alhamdulillah... Jawi lebih mudah dengan j-Blok. Terima kasih kepada Ustaz Abdul Hafiz bin Ahmad GC Pend Islam. Hasil inovasi beliau masalah pembelajaran jawi dapat dikurangkan. Ia membantu murid menguasai bidang jawi dengan lebih berkesan. 
Tidak sia-sia membeli j-Blok jawi ini. Cubaan menggunakan alat bantu ini terhadap murid asli di SK Sungai Lui amat berkesan. Murid terlebih dahulu mesti kenal abjad rumi. Dari abjad rumi murid akan tukar kepada huruf jawi seterusnya menyambung huruf tersebut. Murid juga berasa seronok dengan penggunaan alatan ini. Cuma bilangan murid yang ramai dan berkongsi papan jawi ini agak kurang praktikal. Pihak sekolah patut membelinya dengan lebih banyak lagi.Penggunaan yang lebih kerap akan membantu mengatasi masalah jawi di sekolah. 
Pihak panitia juga bercadang menjemput Ustaz Abdul Hafiz untuk datang dan mengendali sendiri program menangani masalah pembelajaran jawi. Insyaallah...



Gambar menunjukkan kumpulan murid asli dan murid yang tidak bersekolah agama sedang menggunakan j-Blok Jawi. Alat bantu ini diedar oleh Nusamas.