Jumaat, 29 September 2017

AMANAH

Perkataan Amanah amat luas skop perbincangan. Untuk kali ini Tazkirah membincangkan Amanah Seorang Pelajar. Amanah merupakan suatu tanggungjawab yang mesti dipikul oleh setiap orang. Sesungguhnya amanah amat berat kerana tidak semua orang mampu memikul amanah yang dipertanggungjawabkan. Hanya iman sahaja mampu menyelamatkan seseorang dalam memikul amanah yang diberikan. Firman Allah s.w.t. : "Sesungguhnya Kami menawarkan amanah kepada langit, bumi dan gunung ganang. Namun, mereka menolak dan khuatir untuk memikulnya, Dan dipikullah amanah itu kepada manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim lagi amat bodoh"
( Al-Ahzab- 33:72 ).

Jadi apakah amanah seorang pelajar?
1. Amanah Akal dan Minda yang sihat.
Itulah amanah yang Allah berikan kepada kita. Sebagai seorang pelajar jagalah akal dan minda kita dengan iman dan taqwa, jangan kita rosakkan minda dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti menonton video yang melalaikan atau makan makanan yang boleh melemahkan minda dan akal.

2. Amanah dari ibu Bapa
Mari kita fikir... adakah selamaini kita sudah menunaikan amanah yang diberikan oleh ibu bapa kita? Ramai pelajar masih lupa pesanan ibu bapa agar belajar bersungguh-sungguh serta menjadikan diri seorang insan yang berguna dan berakhlak mulia.

3. Amanah dalam Tugasan
Setiap pelajar sering dibebani dengan tugasan yang diberikan guru. Berapa ramai yang masih tidak endahkan dengan tugasan yang diberikan. Melakukannya dengan sambil lewa atau lewat menyiapkannya. Jadi bagaimana ilmu yang kita perolehi itu mendapat keberkatan. Tepuk dada tanya iman.

4. Amanah kepada Masyarakat dan Agama
Pelajar yang amanah akan menyebarkan ilmu yang dipelajarinya kepada masyarakat untuk dikongsi. Selain itu, menyebarkan hukum Allah di landasan yang betul dan memastikan ilmu Allah dikembangkan kepada semua.

Oleh itu, tunaikan amanah anda kerana segala amanah yang diberikan akan dipersoalkan di hadapan Allah di akhirat kelak.

Tazkirah Jumaat oleh :
Ustazah Siti Maimon binti Marsio
08 Muharram 1439H bersamaan 29 Sept 2017.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan