Jumaat, 29 September 2017

AMANAH

Perkataan Amanah amat luas skop perbincangan. Untuk kali ini Tazkirah membincangkan Amanah Seorang Pelajar. Amanah merupakan suatu tanggungjawab yang mesti dipikul oleh setiap orang. Sesungguhnya amanah amat berat kerana tidak semua orang mampu memikul amanah yang dipertanggungjawabkan. Hanya iman sahaja mampu menyelamatkan seseorang dalam memikul amanah yang diberikan. Firman Allah s.w.t. : "Sesungguhnya Kami menawarkan amanah kepada langit, bumi dan gunung ganang. Namun, mereka menolak dan khuatir untuk memikulnya, Dan dipikullah amanah itu kepada manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim lagi amat bodoh"
( Al-Ahzab- 33:72 ).

Jadi apakah amanah seorang pelajar?
1. Amanah Akal dan Minda yang sihat.
Itulah amanah yang Allah berikan kepada kita. Sebagai seorang pelajar jagalah akal dan minda kita dengan iman dan taqwa, jangan kita rosakkan minda dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti menonton video yang melalaikan atau makan makanan yang boleh melemahkan minda dan akal.

2. Amanah dari ibu Bapa
Mari kita fikir... adakah selamaini kita sudah menunaikan amanah yang diberikan oleh ibu bapa kita? Ramai pelajar masih lupa pesanan ibu bapa agar belajar bersungguh-sungguh serta menjadikan diri seorang insan yang berguna dan berakhlak mulia.

3. Amanah dalam Tugasan
Setiap pelajar sering dibebani dengan tugasan yang diberikan guru. Berapa ramai yang masih tidak endahkan dengan tugasan yang diberikan. Melakukannya dengan sambil lewa atau lewat menyiapkannya. Jadi bagaimana ilmu yang kita perolehi itu mendapat keberkatan. Tepuk dada tanya iman.

4. Amanah kepada Masyarakat dan Agama
Pelajar yang amanah akan menyebarkan ilmu yang dipelajarinya kepada masyarakat untuk dikongsi. Selain itu, menyebarkan hukum Allah di landasan yang betul dan memastikan ilmu Allah dikembangkan kepada semua.

Oleh itu, tunaikan amanah anda kerana segala amanah yang diberikan akan dipersoalkan di hadapan Allah di akhirat kelak.

Tazkirah Jumaat oleh :
Ustazah Siti Maimon binti Marsio
08 Muharram 1439H bersamaan 29 Sept 2017.




Sabtu, 16 September 2017

IKHLAS

Selalu kita dengar perkataan IKHLAS. Apakah sebenarnya IKHLAS.
Dari bahasa ia bermakna tulus. Manakala istilah pula ialah melakukan sebarang kebaikan semata-mata kerana mencari redha Allah.
Antara ciri-ciri sifat ikhlas:
1. Tidak mengharapkan imbalan dari manusia kecuali redha Allah.
2. Tidak merasa terpaksa dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
3. Tidak atas dasar perintah dari pihak lain.
4. Melaksanakan dengan sepenuh hati
5. Tidak mengharap balasan dan pujian
6. Melakukan dengan penuh pengabdian.

Tazkirah Jumaat 15 September 2017:
Disampaikan oleh Ustz Che Gayah bt Che Ali
@Dewan SK Sungai Lui.



HARI MALAYSIA

16 September setiap tahun diistyharkan sebagai cuti umum sempena Hari Malaysia. Hari Malaysia ini bagi memperingati tarikh penubuhan Malaysia pada 16 September 1963. Pada tanggal tersebut Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura membentuk Negara Malaysia. 
Marilah kita semua berdoa agar Negara Malaysia terus aman damai dan makmur dan dilindungi Allah.



UPSR 2017

UPSR 2017 bermula pada 11 hingga 14 September. Bagi SJKC/SJKT pula akan berakhir pada 18 September. Peperiksaan ini dianggap penting bagi murid sekolah rendah kerana ia menentukan hala tuju murid sekolah rendah. Segala pelajaran sepanjang di sekolah rendah akan diuji pada hari tersebut mengikut matapelajaran tertentu. Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. 
Begitu juga dengan calon SKSL. Bermacam perasaan bermain dalam diri calon. Apatah lagi ibu bapa calon. Bagi tujuan itu Panitia Pend Islam SKSL mengambil inisiatif untuk adakan majlis bacaan yaasin bersama ibu bapa di surau sekolah. Aktiviti ini diadakan sepanjang 4 hari peperiksaan. Usaha kecil ini moga dapat membantu calon mendapat ketenangan dan ilham ketika menjawab soalan. Terima kasih diucapkan kepada guru dan ibu bapa yang sama-sama berusaha membantu calon SKSL. Selebih kita berserah kepada Allah taala.




Jumaat, 8 September 2017

Menuntut Ilmu

Tazkirah 08 September 2017 telah disampaikan oleh Us Aluwi bin Md Yasin.
Mukadimah dalam proses menuntut ilmu melibatkan guru dan murid. Sebagai seorang guru mesti menyampaikan ilmu yang benar daripada sumber yang sahih.

Adab menuntut ilmu
1. Mendahului memberi salam kepada guru
2. Jangan banyak bercakap atau berkata di depan guru
3. Jangan berkata dengan kata-kata yang tidak diizinkan guru
4. Jangan bertanya guru sebelum meminta izin guru.
5. Jangan menyangkal perkataan guru.
6. Jangan menyalahi bicara guru dengan anggapan diri lebih bijak daripada guru.
7. Jangan berbisik bisik dengan orang lain di depan guru.
8. Jangan buruk sangka  terhadap guru.
9. Duduk dengan tertib di depan guru.

SOLAT HAJAT PERDANA

Solat hajat Perdana untuk calon UPSR 2017 telah diadakan di Masjid Ar-Rahman Kg Sungai Lui pada 07 September 2017. Kebiasaannya solat hajat bulanan diadakan di sekolah sahaja. Hasil kata sepakat maka 2017 diadakan di masjid bersama jemaah lain.
Pihak panitia mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada barisan kepimpinan masjid yang diterajui oleh Us  Jasmi bin Jaafar selaku nazir masjid. Bacaan yaasin dan solat hajat pula diketuai oleh imam 1 (Us Asri ). Hadir sama dalam majlis tersebut ialah YDP En Sofian.
Panitia juga merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pentadbir yang dipimpini oleh En Salehuddin bin Meor Hassan.
Majlis bermula sejurus solat Maghrib dan diakhiri dengan jamuan. Terima kasih diucapkan kepada penyumbang dan penaja program tersebut. Harapan juga calon UPSR 2017 SKSL beroleh kejayaan yang cemerlang.