Isnin, 12 Disember 2016

Maulid Rasul 1438H


Assalamualaikum....
Tanggal 12 Rabiul Awal adalah tarikh yang tidak pernah dilupai oleh umat Islam. Hari Isnin Tahun 570 masihi ( 53 tahun sebelum Hijrah ) adalah tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.. Kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w merupakan rahmat terbesar ke seluruh alam ini.
       MUHAMMAD BIN ABDULLAH merupakan nama baginda. Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hashim bin Abdul Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murrah adalah ayahanda baginda. Manakala bondanya pula Aminah binti Wahab bin Abd Manaf bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah.
       Kita disarankan sentiasa berselawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. semoga beroleh syafaat di akhirat. Sebagai umat Islam kita wajib berselawat ke atas Nabi. Banyak faedah atau ganjaran bagi orang yang berselawat dan sentiasa mengingati Nabi Muhammad s.a.w.
"Sesiapa yang berselawat kepadaku ( Nabi Muhammad ) satu kali, maka aku akan berselawat kepadanya sepuluh kali".
Firman Allah ayat 56 surah al-Ahzab, ( 33:56 )...
"Sesungguhnya Allah dan para MalaikatNya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkan salam kepadanya"
Di Malaysia sambutan Maulidur Rasul disambut di peringkat Kebangsaan, negeri, daerah dan kampung-kampung. Kebiasaannya pengisian majlis adalah dengan ceramah, perarakan, anugerah tokoh hijrah, kenduri kesyukuran dan macam-macam lagi. Harapan agar sambutan ini bukanlah satu tradisi tetapi penghayatan daripada Ibrah kelahiran Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w.. Marilah kita perbanyakkan selawat dan sunnah agar kita sentiasa dekat dengan baginda s.a.w. Saban tahun tema sambutan berubah-ubah bagi menyesuaikan dengan keadaan semasa. Pada tahun ini tema sambutan Maulidur Rasul ialah "Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan