Isnin, 26 Disember 2016

Soalan Tilawah dan Bercerita MTQSS 2017

Saban tahun Majlis Tadarus al-Quran Sekolah-sekolah (MTQSS) anjuran Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia akan diadakan. Aktiviti koakademik ini dimulai di peringkat sekolah, Zon, Daerah, Bahagian, Negeri dan Kebangsaan.
Pengujian adalah berbeza-beza dari tahun sebelumnya. Acara Tilawah al-Quran, Hafazan dan Bercerita dari Kisah al-Quran akan diberi ayat-ayat dan tajuk-tajuk tertentu yang ditetapkan oleh BPI, KPM. Menjadi tanggungjawab guru di setiap peringkat untuk melatih peserta agar beroleh kejayaan.
"Al-Quran Asas Penyatuan Ummah" adalah tema kepada MTQSS pada tahun 2017.
Bersama ini penulis link dokumen pertandingan yang disediakan oleh BPI. Selamat bertanding.


Isnin, 12 Disember 2016

Maulid Rasul 1438H


Assalamualaikum....
Tanggal 12 Rabiul Awal adalah tarikh yang tidak pernah dilupai oleh umat Islam. Hari Isnin Tahun 570 masihi ( 53 tahun sebelum Hijrah ) adalah tarikh kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.. Kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w merupakan rahmat terbesar ke seluruh alam ini.
       MUHAMMAD BIN ABDULLAH merupakan nama baginda. Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hashim bin Abdul Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murrah adalah ayahanda baginda. Manakala bondanya pula Aminah binti Wahab bin Abd Manaf bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah.
       Kita disarankan sentiasa berselawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. semoga beroleh syafaat di akhirat. Sebagai umat Islam kita wajib berselawat ke atas Nabi. Banyak faedah atau ganjaran bagi orang yang berselawat dan sentiasa mengingati Nabi Muhammad s.a.w.
"Sesiapa yang berselawat kepadaku ( Nabi Muhammad ) satu kali, maka aku akan berselawat kepadanya sepuluh kali".
Firman Allah ayat 56 surah al-Ahzab, ( 33:56 )...
"Sesungguhnya Allah dan para MalaikatNya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkan salam kepadanya"
Di Malaysia sambutan Maulidur Rasul disambut di peringkat Kebangsaan, negeri, daerah dan kampung-kampung. Kebiasaannya pengisian majlis adalah dengan ceramah, perarakan, anugerah tokoh hijrah, kenduri kesyukuran dan macam-macam lagi. Harapan agar sambutan ini bukanlah satu tradisi tetapi penghayatan daripada Ibrah kelahiran Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w.. Marilah kita perbanyakkan selawat dan sunnah agar kita sentiasa dekat dengan baginda s.a.w. Saban tahun tema sambutan berubah-ubah bagi menyesuaikan dengan keadaan semasa. Pada tahun ini tema sambutan Maulidur Rasul ialah "Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah".

Ahad, 11 Disember 2016

Meraikan Persaraan

Tanggal 26 Nov 2016, Hotel Bangi-Putrajaya telah diadakan majlis jamuan akhir tahun dan meraikan persaraan Guru Besar serta Pn Norliah ( Kak Lela ). Majlis tersebut dianjurkan oleh Badan Kebajikan Guru SKSL. 
Pada kesempatan itu Panitia Pendidikan Islam turut meraikan dua insan tersebut dengan menyampaikan hadiah kenangan. Guru Besar SKSL ( Pn Hjh Zainah binti Mohd Yunus ) bertugas di SKSL bermula 11 Jun 2015 setelah dinaikkan pangkat sebagai Guru Besar. Sebelum tu, beliau bertugas sebagai GPK HEM di SK Jalan Empat, BBB. Beliau mengakhiri tugas sebagai Guru Besar di SKSL sehingga 30 Nov 2016.
Bagi Pn Norliah Ahmad a.k.a. Kak Lela tidak asing lagi bagi murid dan warga SKSL. SKSL merupakan tempat pertama dan terakhir beliau menabur khidmat. Bermula 01 Jun 1982 hingga 30 Nov 2016.
Panitia Pendidikan Islam mengucapkan selamat bersama dan sentiasa berada dalam lindunganNya.





Untuk gambar persaraan boleh juga kunjungi blog sekolah http://sksglui.blogspot.my/ 

Hasbi Robbi


Ahad, 4 Disember 2016

Khatam Tahun 6 2016

23 Nov 2016- SKSL, Majlis Khatam al-Quran untuk pelajar Tahun 6 telah diadakan di dewan sekolah. Tujuan majlis diadakan menandakan tamatlah pembelajaran atau pembacaan al-Quran selama 6 tahun dalam bidang khatam mengikut sukatan pelajaran. 
       Seramai 22 orang murid yang terpilih telah memperdengarkan bacaan dari surah ad-Dhuha hingga an-Nas di bawah bimbingan Ustaz Ku Ismail bin Tuan Yaacob selaku Guru Pendidikan Islam Tahun 6 SKSL serta dipengerusi oleh Ustaz Aluwi bin Md Yasin. Kebiasaannya majlis khatam ini merupakan aktiviti terakhir untuk setiap tahun.